Monday 30 May 2016

         KEPENTINGAN AKTIVITI KOKURIKULUM

Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti luar bilik darjah yang dibimbing oleh guru-guru. Pelbagai aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah, misalnya aktiviti kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta pasukan beruniform. Oleh yang demikian, aktiviti kokurikulum perlu disertai oleh murid-murid kerana ada banyak kepentingannya.

Kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tiada masa untuk melepak dan  bergaul dengan budak-budak nakal. Secara tidak langsung akan dapat menghindari diri kita daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya, jika kita aktif dalam bidang sukan, masa lapang kita akan diisi dengan latihan yang diselia oleh guru-guru.

      Selain itu, kegiatan kokurikulum dapat membentuk disiplin diri. Contohnya, semasa menyertai aktiviti persatuan, sukan atau unit beruniform, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya.

      Di samping itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada pelbagai jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

    Bukan itu sahaja, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap unit kokurikulum mempunyai ramai ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Kita boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama ahli.

    Kesimpulannya, banyak kepentingan kegiatan kokurikulum kepada murid-murid di sekolah. Oleh itu, pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum.

Sunday 29 May 2016

KARANGAN CATATAN SAMBUTAN HARI GURU


7.10 a.m.
Saya tiba di sekolah dan memasuki kelas saya. Kami sekelas meletakkan hadiah yang kami sediakan untuk guru kelas kami, Puan Norida di atas meja guru.

8.00 a.m.
Kami diminta berhimpun di tapak perhimpunan oleh pengawas. Dengan itu, kami berbaris dan berhimpun di tapak perhimpunan dengan segera. Semua murid dari Darjah 1 hingga 6 diminta untuk  memasuki dewan untuk persembahan sempena Hari Guru.

8.30 a.m.
Para pelajar duduk di tempat mereka masing-masing dengan berdisiplin dan tidak membuat bising. Persembahan dimulakan dengan kata alu-aluan daripada tuan pengerusi majils dan sambung dengan ucapan guru besar. Dalam ucapan beliau yang ringkas itu, beliau menyatakan tujuan sambutan Hari Guru diadakan adalah untuk menghargai dan mengenai jasa guru yang telah mendidik dan membimbing kita dengan bersungguh-sungguh.

9.00 a.m.
Wakil guru dari sekolah saya iaitu Encik Fadzil mengetuai semua guru membaca ikrar dan menyanyi lagu 'Guru Malaysia'. Seterusnya, persembahan-persembahan daripada murid dimulakan. Murid-murid tidak melepaskan peluang yang baik itu untuk menghiburkan para guru yang disayangi. Antara yang paling menarik merupakan persembahan oleh kelas 6 Nangka yang menghiburkan kami dengan persembahan nyanyian sambil tarian yang sangat kelaka menyebabkan ramai guru yang tidak kering gusi.

10.20 a.m.
Selepas penghiburan dari para pelajar. Tepat pada pukul 10.20 pagi kami dilepaskan untuk masa rehat. 20 minit kemudian, pertandingan futsal antara guru dan murid diadakan di kawasan lapang. Walaupun Zachary merupakan ayam tambatan pasukan futsal sekolah saya, dia juga dikalah oleh Encik Fadzil.

11.50 a.m.
Kami pulang ke kelas masing-masing selepas itu. Kami menyambut Hari Guru dengan guru kelas saya, Puan Norida di dalam kelas selama 30 minit. Cikgu Vimala, Guru Matematiks kami, juga benarkan kami menyanyi untuk beliau sebagai hadiah pada hari itu.

12.30 p.m.
Semua murid dibenarkan untuk keluar makan tengah hari pada pukul 12.30 tengah hari. Kami berasa sangat gembira kerana diberi ais-krim sempena Hari Guru sebagai pencuci mulut selapas makan. Kami pulang ke rumah dengan gembira.
KARANGAN  KEMALANGAN JALAN RAYA


Kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini meningkat dari semasa ke semasa. Terdapat pelbagai jenis kemalangan sama ada yang melibatkan pemandu kereta, lori, penunggang motosikal, atau pejalan kaki dilaporkan oleh pihak berkuasa. Negara kita juga dikatakan sebagai sebuah negara yang mempunyai kadar kemalangan jalan raya yang tertinggi. Antara faktor utama peningkatan kes kemalangan di negara kita berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya sendiri.

Contoh kecuaian yang berlaku adalah seperti memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. Akibat hendak segera sampai ke destinasi yang dituju, mereka tidak menghiraukan keadaan mereka yang dalam keletihan. Akibatnya kenderaan dipandu dalam keadaan kurang tumpuan. Pemandu yang berada dalam keadaan begini seharusnya berhenti seketika untuk menghilangkan rasa mengantuk dan letih supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan.

Kesalahan lain yang biasa dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Walaupun banyak papan tanda had laju diletakkan di sepanjang jalan raya dan kawalan lalu lintas oleh pihka berkuasa, namun mereka masih berdegil dan memandu sesuka hati tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri dan orang lain. Malah, ada juga yang berlumba secara haram menggunakan motosikal di atas jalan raya seperti yang biasa dilakukan oleh golongan remaja.

Untuk mengelakkan kejadian kemalangan yangteruk meningkat, langkah-langkah yang praktikal perlu diambil oleh semua pihak. Pihak kerajaan, swasta dan rakyat harus bekerjasama demi memastikan keselamatan semua. Pihak kerajaan daripada pelbagai jabatan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, polis, dan Jabatan Kerja Raya harus membuat pemantauan dari semua aspek untuk mendisiplinkan para pemandu dan menyediakan laluan jalan raya yang selesa demi keselamatan pemandu. Penguatkuasaan undang-undang, kempen kesedaran, dan pelaksanaan denda atau saman bagi kesalahan jalan raya adalah antara langkah yang wajar diambil untuk menyedarkan pengguna jalan raya. Sektor swasta juga memainkan peranan penting dalam menangani masalah ini dengan menyiarkan iklan yang dapat memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya yang lain.

Masyarakat harus sedar tentang peranan masing-masing di jalan raya. Mereka tidak harus mementingkan diri sendiri sebaliknya perlu bertolak ansur dengan pengguna jalan raya yang lain. Peraturan jalan raya haruslah dipatuhi untuk memastikan keselamatan semua pihak. Jangan gopoh gapah semasa memandu kerana kecuaian menjadi punca nyawa sendiri dan orang lain yang tidak bersalah turut terancam. Kenderaan perlulah diperiksa terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.


Kesimpulannya, keselamatan di atas jalan raya merupakan tanggungjawab pengguna jalan raya sendiri. Kecuaian merupakan punca utama kemalangan berlaku dan hal ini tidak harus dibiarkan berterusan untuk menjamin keselamatan semua pihak. Manusia memang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan tetapi kesilapan yang dapat menyebabkan nyawa orang lain juga turut melayang haruslah dielakkan demi kesejahteraan bersama.

KARANGAN KEPINTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat  peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.


41


Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan  contoh paling jelas, dan atas sokongan  rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka  melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.


43


Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat  disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.

Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

KARANGAN FAEDAH MEMBACA


Membaca adalah salah satu amalan yang amat berfaedah. Mereka yang mempunyai tabiat ini dapat memperoleh banyak kelebihan dan manfaat.

           Seseorang yang suka membaca mempunyai minda yang sihat dan positif. Bahan bacaan seperti buku-buku ilmiah dan majalah boleh merangsang pemikiran kita. Oleh itu, pemikiran kita senantiasa kreatif, kritis dan mempunyai wawasan.  

           Amalan suka membaca juga boleh meningkatkan perbendaharaan kata. Misalnya kita boleh membaca buku-buku cerita, novel dan makalah. Perbendaharaan kata yang meluas baik dalam bahasa Malaysia ataupun bahasa Inggeris akan meningkatkan kemampuan kita untuk berkomunikasi secara lisan ataupun bertulis.

           Di samping itu, amalan suka membaca boleh menambah pengetahuan kita. Contohnya, jika kita suka membaca buku-buku tentang sains dan sejarah yang boleh kita dapati di perpustakaan. Dengan itu, pengetahuan tentang konsep sains dan juga sejarah boleh ditingkatkan dan sekaligus membantu dalam proses pembelajaran di sekolah.

           Seterusnya, amalan suka membaca boleh mengisi masa lapang kita dengan berfaedah. Membaca buku-buku pelajaran, majalah dan buku cerita amat bermanfaat kepada kita daripada membuang masa dengan bermain atau menonton televisyen sahaja. Oleh itu, masa lapang kita tidak akan terbuang dengan sia-sia.

           Kesimpulannya, tabiat membaca memang mempunyai banyak kelebihan. Maka kita harus memupuk tabiat suka membaca ini sejak kecil lagi. Bak kata orang bijak pandai, "Membaca Jambatan Ilmu".GAN FAEDAH BERSUKAN
 Karangan Faedah Menabung


Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap suka menabung perlu dipupuk sejak kecil. Menabung memberi banyak faedah kepada kita.

     Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Oleh sebab itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa bekalan air dan makanan ke sekolah. Justeru, baki duit yang diberi ibubapa dapat disimpan ke dalam tabung.

     Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini boleh digunakan untuk menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain itu, wang simpanan juga membantu kita membeli barang-barang keperluan diri kita sendiri. Ibu bapa pasti akan berasa bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat cermat dan berdikari itu.

     Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit wang itu juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, wang ini juga boleh digunakan jika  ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru kita tidak perlu meminta-minta kepada orang lain. 

     Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di dalam bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini boleh digunakan untuk menampung kehidupan masa hadapan. Justeru kita dapat hidup dengan selesa dan tidak menyusahkan orang lain.

Sesungguhnya menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata pepatah, 'ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah menabung dari sekarang